Apa Itu Rumah Selangorku

Rumah Selangorku

Rumah Selangorku telah diperkenalkan bermula pada 1 Januari 2014 bagi menggantikan dasar yang telah digunapakai sejak sebelum tahun 2000 oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS)

 

Pengenalan Rumah Selangorku ini adalah bermatlamat supaya perumahan mampu milik lebih relevan untuk dipratikkan selaras dengan trend pembangunan kawasan kediaman dan keadaan ekonomi semasa, kepelbagaian dari segi jenis, saiz dan reka bentuk, mengambil kira pendapatan di bawah RM3,000.00 sehinggalah pendapatan RM8,000.00 sebulan serta penyediaan rumah di antara RM42,000.00 sehingga RM250,000.00.

 

Rumah Selangorku versi 2 (ver2) bermaksud projek yang telah diluluskan berkuatkuasa pada April 2018 sehingga 2 Januari 2023. Ianya melibatkan penyediaan Rumah Selangorku Jenis A, B, C, D, dan E Khas dengan keutamaan perbezaan kriteria kelayakan pemohon mengikut jenis.

 

Rumah Selangorku versi 3 (ver3) bermaksud projek yang telah diluluskan bermula pada 3 Januari 2023 dan tahun seterusnya. Ianya melibatkan penyediaan Rumah Selangorku Jenis Solo, Duo, Trio dan Quod dengan keutamaan perbezaan kriteria kelayakan pemohon berdasarkan status bujang dan berkahwin.

 

Perumahan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) adalah untuk merealisasikan matlamat “Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna“.

 

Ini adalah untuk memastikan setiap rakyat negeri Selangor mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.